Sunday, November 1, 2015

Kenali Nafsu

Nafsu adalah Tuhan yang selama ini kita sembah selain ALLAH tanpa kita sadari. Allah berfirman
dalam  surah al-Furqan ayat 43 - 44
"Adakah kamu pernah melihat orang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya maka apakah kamu dapat menjadi pemeliharanya. Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami ( al-Quran ). Mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternakan,bahkan mereka lebih sesat jalannya ( dari binatang ternakan itu )"

Buruknya orang yang menuruti hawa nafsunya diibaratkan sebagai binatang ternak. Kata guru saya, kalau binatang liar masih pandai mencari makanan sendiri, namun kalau binatang ternak, bodoh. Allah memberitahukan kita, orang yang mengikut kehendak hawa nafsu ini lebih bodoh dan lebih sesat dari binatang ternak. 
Adakah kita termasuk golongan yang disebutkan sebagai binatang ternak oleh ALLAH?
Nafsu sememangnya ada dalam diri manusia namun mereka yang menjadikan hawa nafsu sebagai Tuhan adalah mereka yang menuruti hawa nafsunya dan kehidupannya tunduk kepada hawa nafsu.

Kata guru saya, ciri hawa nafsu adalah apabila dipenuhi dia akan hilang. Kegembiraan untuk memiliki atau merasai sesuatu yang terbit bersumberkan hawa nafsunya akan hilang apabila dipenuhi. Contohnya, seorang pemuda yang mencintai seorang wanita akan mempunyai nafsu untuk bersama wanita itu. Untuk memandangnya setiap waktu, untuk memegang tangannya, untuk mengingatinya setiap waktu dan untuk menjalinkan hubungan suami isteri dengan wanita itu. Sekiranya dia menuruti hawa nafsu itu, jasadnya akan mengikuti keinginan nafsu untuk dipenuhi. Maka ia akan mencari jalan agar sentiasa dapat melihat wanita itu yang masih bukan mahramnya. Ia akan sentiasa mencari jalan agar dapat sentiasa berbual-bual dengan wanita itu yang masih belum menjadi isterinya. Ia akan sentiasa mencari jalan agar dapat keluar bersama wanita itu walaupun ianya ditegah oleh syariat Islam. Makanya dia dikatakan menuruti hawa nafsunya dan pada masa yang sama ia menjadikan nafsunya itu sebagai Tuhannya. Apabila ia mula menuruti hawa nafsunya sebagai Tuhannya ia akan semakin lalai dari mengingati ALLAH. Difikirannya sering terpenuhi dengan nafsunya terhadap wanita itu. Jika dia seorang ahli zikir, zikirnya akan mula terlalaikan dengan keinginan hawa nafsunya. Tanpa di sadari syaitan akan mula menempati dalam hatinya. Bagi pemuda yang bukan ahli zikir natijahnya lebih parah lagi kerana syaitan memang sudah bermastautin dalam hatinya dan akan memujuknya untuk melakukan sesuatu yang lebih ekstrim lagi dengan wanita iaitu sehingga membawa kepada perzinaan.

Sekiranya dia menuruti hawa nafsunya untuk berzina dengan wanita itu akhirnya hawa nafsunya akan terpenuhi dan dia akan mulai bosan dengan wanita itu dan nafsunya mahu mencari yang lain, yang lebih baru. Sekiranya wanita itu mengandung, itu alasan paling ampuh untuk mencari jalan meninggalkan wanita itu. Maka hari ini kita melihat ramai wanita ditinggalkan kekasih apabila mengandungkan anak diluar pernikahan. 

Sekiranya dia ditakdirkan berkahwin dengan wanita itu, maka nafsunya juga terpenuhi. Apabila terpenuhi, akhirnya dia bosan. Cinta yang begitu asyik sebelum berumah tangga sirna. Kedua-keduanya hairan bagaimana cinta yang dirasakan teragung di dunia sebelum itu boleh hilang begitu saja. Jawapannya mudah sekali kerana cinta sebelum berumahtangga boleh dipengaruhi oleh nafsu dan apabila ianya diseliputi nafsu maka apa saja yang dirasakan adalah bersumberkan nafsu. Oleh kerana nafsu itu bersifat sementara dan palsu maka kebahagiaan cinta itu juga bersifat sementara dan palsu. Justeru cinta yang pada asalnya suci anugerah Ilahi agar terjalinnya rasa mahu berumahtangga menjadi cinta yang dikotori hawa nafsu. 

Itulah sebabnya kita sering mendengar senario seperti ini diceritakan;

Situasi sebelum kahwin apabila teman wanitanya terlanggar batu:

"Siapalah yang letak batu besar ni ditengah jalan?" kata teman lelakinya dengan marah

Situasi setelah kahwin apabila isterinya terlanggar batu dalam keadaan yang hampir sama:

"Batu besar tu pun awak tak nampak, awak pandang mana bila jalan?" kata suaminya dengan marah

Mungkin kita juga pernah mengalami keadaan yang hampir sama melalui cerita yang berbeza. Maka hampir kita semua pernah berada dalam keadaan sperti di atas. Makanya kita semua pernah bertuhankan hawa nafsu.

Menuruti hawa nafsu bukan berlaku dalam senario di atas sahaja tetapi setiap hari dalam kehidupan kita. Nafsu yang sudah dipenuhi digantikan dengan nafsu yang lain. Mari kita lihat contoh keadaan yang biasa berlaku pada wanita dan lelaki.

1. Keadaan yang biasa berlaku pada seorang wanita

Apabila mula bekerja , seorang wanita tidak mempunyai banyak baju-baju yang menarik, beg tangan yang cantik untuk digandingkan ketika datang ke tempat kerja. Setiap hari dia melihat rakan-rakan sekerja yang sentiasa mempunyai baju-baju yang cantik. Dia mula berkeinginan menjadi cantik sebegitu. Untuk memenuhi hawa nafsunya  dia akan suka kepada majalah-majalah tentang kecantikan terutamanya fesyen-fesyen. 

Ketika dia mula mendapat wang, dia akan mula memenuhi keinginan hawa nafsunya. Dia mula membeli pakaian-pakaian yang cantik dengan nafsunya itu. Semakin lama dia bekerja dan pendapatannya semakin banyak, semakin hawa nafsu itu terpenuhi. Dia sudah mula mempunyai banyak baju-baju yang cantik dan beg tangan-beg tangan yang cantik-cantik. Itulah yang selalu memenuhi ruang dalam hatinya. Dia merasa bahagia setiap kali memperoleh pakaian yang cantik. 

Malang bagi wanita-wanita sebegini, ia sentiasa duduk dalam hawa nafsunya dan setiap waktu berusaha memenuhi hawa nafsunya untuk kelihatan cantik. Nafsunya tak akan pernah puas. Setelah pakaian cantik pertama dipakai beberapa kali akhirnya dia bosan dengan pakaian itu. Dia mencari pakaian cantik yang lain, yang mungkin kualiti kainnya lebih mahal. Setelah puas dengan itu ia mahu lagi mencari yang lain yang mungkin ada jenamanya pula. Ia akan sentiasa mengikuti fesyen terkini dan hawa nafsunya tidak akan puas sehingga ia membeli pakaian-pakaian mengikut fesyen terkini. Iklan-iklan tudung, pakaian, beg tangan sentiasa menarik perhatiannya untuk memenuhi hawa nafsunya. Wang yang sepatutnya digunakan untuk menjalankan tugas kekhalifahannya kepada ALLAH, digunakan untuk memenuhi nafsunya untuk kelihatan cantik. Dia sudah lari dari tujuan asal dia diciptakan untuk hanya menyembah ALLAH dan menjalankan tugas kekhalifahannya. Dia menuruti hawa nafsunya dan menjadikan nafsunya sebagai Tuhannya sehingga melalaikannya dari tugasnya yang asli iaitu hanya menjadi hamba dan khalifah ALLAH di muka bumi ini.

Ramainya wanita yang termasuk dalam golongan ini. Buktinya bisnes-bisnes yang sangat berkembang maju adalah bisnes pakaian wanita, tudung wanita, kasut wanita, beg tangan wanita dan apa saja aksesori wanita.


2. Keadaan yang biasa berlaku pada seorang lelaki

Seorang lelaki yang mula bekerja tidak mampu membeli kereta. Ia ke tempat kerja dengan menaiki motorsikal. Ia merasa teruja untuk berkereta apabila melihat teman-teman sekerja mempunya kereta. Ia mula ingin memiliki kereta bagi tujuan kegunaan keluarganya. Niat yang baik sekali. Akhirnya berjaya memiliki sebuah kereta proton yang sederhana. Dia bahagia dengan kereta itu dan digunakan sebaik mungkin untuk ke tempat kerja, menghantar isteri ke tempat kerja dan anak-anak ke sekolah atau kemana saja yang diperlukan keluarganya. 

Lama-kelamaan hatinya teruja untuk memiliki kereta yang lebih baik. Melihatkan kawan-kawan berkereta jenama luar negara yang lebih 'trendy' dan bergaya, dia mula bernafsu untuk menukar keretanya. Setiap hari hatinya berbunga-bunga apabila membuka surat-khabar melihat kereta-kereta idamannya diperagakan dengan begitu cantik sekali. Ketika memandu kereta protonnya dia akan mencuri-curi pandang kekasih-kekasih barunya di sebelah kiri dan kanannya yang namanya VIOS dan CIVIC. "Aduh, cantiknya" , bisik hati kecilnya sambil dia memikirnya warna yang terbaik yang akan dipilihnya. Pada malam hari dia sering juga bermimpikan kekasih-kekasih barunya itu. 

Akhirnya dia berjaya memiliki sebuah HONDA CIVIC. Sungguh teruja. Setiap hari mencuci keretanya. Berbagai aksesori dicari untuk mencantikkannya lagi. Dia merasa sungguh bahagia dapat memilikinya. Namun kebahagiaan itu bertahan mungkin selama beberapa tahun sahaja. Honda Civic yang kelihatan sungguh cantik satu waktu dahulu, sudah terasa jemu dan bosan. Mencari alasan menggantikannya. "Terlalu kecil untuk keluargaku yang sudah bertambah ramai", alasan paling mudah digunakan untuk menjustifikasikan keinginan hawa nafsunya. Dia mula melihat iklan-iklan kereta di akhbar-akhbar. yang mana satu pilihan kekasih barunya pula kali ini. Apakah yang namanya ACCORD atau CAMRY. Dia mula melihat berbagai-bagai sudut. Di fikirannya sentiasa memikirkan kereta baru yang akan dimiliki. Allah lalai dari hatinya. Nafsu memliki kereta yang baru memenuhi relung hatinya. Dia mahu segera dipenuhi. 

Malang bagi lelaki sebegini. Dia tidak akan puas dengan ACCORD atau CAMRY. Dia akan sentiasa mahu yang lebih baik lagi setelah itu dipenuhi. Dia akan mencari AUDI, BMW atau BENZ. Dari yang 3-series ke 5-Series tanpa menyedari usianya pun sudah memasuki 5-series dan dia masih bergelut dalam lumpur nafsu yang sangat menjijikkan. Dia lupa kepada tujuan asalnya dijadikan di dunia ini untuk menjadi khalifatul ard, khalifah di muka bumi ini dengan tugasnya akan ditentukan oleh ALLAH sendiri dan akan diketahuinya melalui petunjuk yang masuk ke dalam hatinya. Namun kerana hidupnya terpenuhi dengan mengikuti hawa nafsunya maka itulah Tuhan yang disembahnya. Dia lalai dari mengingati ALLAH sehingga hatinya membatu dan tertutup dari petunjuk ALLAH. 

Malang bagi lelaki dan wanita seperti di atas, kerana hawa nafsunya sentiasa saling berganti dengan kebendaan, pangkat, harta dan keturunan sehingga dia lupa dengan ancaman ALLAH dalam firmanNya yang bermaksud:

"Katakanlah: `Jika bapak-bapak, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.` Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.(QS. At Taibah:24)

Dalam hatinya terpenuhi dengan apa saja yang disukai nafsunya seperti mempunyai harta yang banyak, melancong ke luar negara, anak-anak dan cucu-cucu, perniagaan, emas, berlian dan perhiasan dunia sehingga ruhaninya tertutup dari ALLAH. Dia tak kan mampu kembali kepada ALLAH dalam keadaan ini dan sekiranya dia meninggal dunia, pastinya dia kembali dalam keadaan SUUL KHOTIMAH, kematian yang buruk kecuali dia dirahmati dan diampuni ALLAH.

Kesimpulannya 

1. Kita haruslah mengenal nafsu itu agar dia tidak menjadikan kita syirik kepada ALLAH apabila kita menuruti hawa nafsu sehingga melalaikan dari mengingat ALLAH dan melalaikan dari menjalankan tugas kekhalifahan.

2. Nafsu itu menipu. Kebahagiaannya palsu dan bersifat sementara. Dia melalaikan kita dari menuju kebahagian yang sejati iaitu berada dekat dengan ALLAH.

3. Ingatlah janji kita kepada ALLAH dalam surah Ifititah yang kita baca setiap kali di dalam solat, "Innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahi robbil alamin". Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk ALLAH. Justeru rezeki yang Allah kurniakan adalah untuk menjalankan tugas kekhalifahan kita di dunia ini dan bukannya untuk menurut kehendak hawa nafsu

4. Apabila menyadari hati kita diselimuti hawa nafsu, segeralah lari kepada ALLAH, fafirru ilallah. Duduklah menghadap ALLAH dan bawa jiwa kita menuju ALLAH. Ruh itu boleh berjalan menuju ALLAH. Kata guru saya, datanglah kepada ALLAH sehingga diturunkan rasa tenang ke dalam hati dan insyaALLAH dari ketenangan itu akan turunnya petunjuk ke dalam hati. ALLAH akan membuka hati orang-orang yang beriman dengan cahayaNYA. Kemudian teruskanlah kehidupan ini mengikut petunjuk yang dimasukkan ALLAH ke dalam hati kita berupa ilham dan jangan sekali berpaling daripadanya.

Dari Abdullah bin Mas'ud ia berkata : Rasulullah saw membaca ayat,  Bukankah Allah membuka dada seseorang untuk Islam, dia diatas cahaya dari Tuhannya (Az Zumar 39 : 22).

Kami para bersahabat bertanya : Ya Rasulullah bagaimana dadanya orang itu bisa lapang ? Rasulullah menjawab : Kalau cahaya Allah sudah masuk ke dalam hati seseorang, maka hatinya menjadi lapang dan luas. Kami para sahabat bertanya : Tandanya apa ya Rasulullah ? Jawab Rasulullah saw : Yaitu kembali kepada negeri yang kekal, meninggalkan dunia yang penuh tipuan. Dan mempersiapkan mati sebelum mati kita. "Maka apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya untuk (menerima) agama Islam lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang membatu hatinya)? Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka yang telah membatu hatinya untuk mengingat Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata." Q39:22

Nafsu membawa kita kepada dunia tipuan (alam ghurur), zikrullah membawa kita kepada alam yang abadi, yang dekat dengan ALLAH. Tinggalkanlah nafsu yang menipu, kembalilah kepada ALLAH.
‘Astaghfirullahal’adzim, alladzi la ilaha illa huwal hayyul qoyyumu wa atubu ilaih’

(Aku meminta ampun pada Allah yang Maha Agung, tiada tuhan selain Dia yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Sendiri, dan aku bertaubat pada-Mu).

Aku meminta ampun kepadaMu Ya ALLAh di atas dosa dan kesalahanku menjadikan hawa nafsuku sebagai Tuhan selainmu. Aku mengaku aku salah dan berdosa ya Allah. Aku kembali kepadaMU dengan jiwa yang suci bersih dari hawa nafsu. Aku kembali sebagai ruh suci yang ditiupkan kedalam kerangka tubuh ini. Tiada Tuhan selainMu di hatiku, Tiada Tujuan selainMu dihatiku, Tiada kecintaan selainMu di hatiku kerana hanya KAU sajalah cinta yang asli yang akan kekal selamanya, Kau yang Maha hidup lagi berdiri dengan sendirinya, aku bertaubat kepadaMU, aku kembali menjadi khalifahMu dengan benar.

Wallahuaklam

Ummu Ayman
Madinah
20 April 2015
 
sumber : http://ummuayman.blogspot.my/2015/04/allah-ajarkan-tentang-nafsu.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+ajarkanaku+%28Ajarkan+aku+Ya+Allah+...%29

No comments:

Post a Comment