Seruan jihad di Syria menyalahi Maqasid Syariah
Ibadah jihad seperti ibadah lain, mempunyai syarat serta peraturan yang mesti dipenuhi dan dipatuhi ketika melaksanakannya. Ia bukan suatu ibadah yang tertegak dengan sentimen dan luapan emosi yang melulu tanpa batasan. Ia juga bukan seruan kosong yang dilaungkan tanpa makna dan erti.
Sejauh mana benarnya puak yang meniupkan semboyan jihad pada hari ini, itu suatu persoalan yang perlu dinilai menurut dalil syarak dan ketetapan hukum. Sesuatu perkataan Arab mungkin membawa pelbagai makna, tetapi dengan ketibaan Islam, banyak perkataan Arab sudah dihadkan maknanya kepada satu istilah sahaja iaitu istilah syarak.
Dalam Bahasa Arab, 'jihad' berasal daripada perkataan 'juhdu' atau 'jahdu' yang bermaksud 'kerahan tenaga dengan bersungguh-sungguh' (Mukhtar Al-Sihah 1/119). Tetapi, 'jihad' menurut syarak hanya membawa suatu makna iaitu 'menentang orang kafir (harbi) di medan pertempuran dan menghapuskan segala rintangan terhadap dakwah bagi menjadikan kalimah Allah (Islam) itu tinggi setinggi-tingginya'.
Definisi ini memberi petunjuk sebab utama jihad disyariatkan bukan kerana kekufuran orang kafir semata-mata, tetapi kerana 'Al-Hirabah' mereka iaitu menzahirkan permusuhan terhadap nyawa dan harta umat Islam.
Jihad perlu ikut syarak
Oleh itu, peperangan sesama Muslim (walaupun Ahlul-Bidaah sekalipun) yang menatijahkan kehancuran umat Islam dan mengundang perpecahan tidak dapat diiktiraf sebagai 'jihad' menurut syarak. Puak yang muncul untuk menumpahkan darah saudara mereka, yang datang untuk 'menegakkan' bendera Islam melalui darah saudara Muslim mereka, harta benda dan maruah saudara mereka adalah penyeru kepada kebatilan. Ia suatu kejahilan dan kejahatan yang disandarkan kepada Islam.
Tambahan pula slogan dilaungkan tidak jelas sedangkan ketetapan hukum itu tidak boleh diputuskan jika ada faktor kesamaran. Peperangan menentang kerajaan Bashar al-Assad di Syria sebenarnya adalah peperangan terancang yang dicetuskan dan dibiayai Yahudi Zionis bertujuan melemahkan kedudukan dan kekuatan tentera di negara Islam rantau Teluk dan Timur Tengah bagi menjaga kepentingan Zionis Israel dan Amerika Syarikat serta Barat. Dakwaan kononnya memerangi kerajaan Bashar ialah Jihad Fi-Sabilillah adalah pembohongan.
Ingat, sesiapa yang memecahbelahkan kita bukan daripada kita (umat Islam) dan mereka yang mengangkat senjata juga bukan daripada kita. Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang mengangkat senjata terhadap kami tidaklah dia dari golongan kami." (Riwayat Bukhari) dan "Jangan sesekali kembali kepada kekafiran setelah peninggalanku dengan berbunuh-bunuhan sesama sendiri." (Ibnu Majah).
Selain itu, tidak ada jihad tanpa izin pemerintah. Inilah Sunnah Rasulullah SAW, Sunnah Para Khalifah Al-Rasyidin dan amalan sahabat Baginda. Tidak ada riwayat yang menunjukkan bahawa mana-mana individu daripada kalangan mereka 'bergerak solo' untuk berjihad tanpa izin pemerintah. Bahkan semua riwayat menunjukkan bahawa mereka hanya berjuang di bawah panji jihad pemerintah. Berkata Imam Ahmad bin Hanbal: "Kewajipan berperang bersama pemerintah adalah berterusan sehingga ke hari kiamat; sama ada pemerintah yang baik mahupun yang zalim; ia tidak boleh ditinggalkan" (Usul Al-Sunnah, hlm. 64).
Seseorang Muslim hanya boleh keluar berperang di bawah panji pemerintah atau wakilnya. Dia sama sekali tidak boleh berperang di bawah panji buta yang tidak dilantik oleh pemerintah walaupun pemerintah yang 'zalim'.
Sabda Nabi SAW.: "Barang siapa keluar daripada ketaatan (pemerintah) dan menyelisihi jemaah (yang bersatu di bawah pemerintah) lalu dia mati, dia mati dalam keadaan jahiliah; dan barang siapa berperang di bawah panji buta, dia marah kerana asabiah, mengajak kepada asabiah atau berjuang kerana asabiah lalu dia terbunuh, dia terbunuh dalam keadaan jahiliah." (Riwayat Muslim).
Jelaslah, seruan batil 'jihad' di Syria ini menyalahi Maqasid Syariah atau objektif syarak iaitu memelihara agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.
Sejak bila Islam menjadi agama untuk membunuh seorang Muslim yang lain? Sejak bila Islam menjadi agama yang menghalalkan seorang Muslim membunuh saudaranya sendiri? Islam datang sebagai suatu rahmat yang menyatukan umat, bukan azab yang menghancurkan umat.
Betapa perlunya umat Islam menginsafi hakikat ini dan tidak terburu-buru turun ke medan pertempuran sedangkan mereka belum melaksanakan syarat yang diperlukan untuk mendapatkan kemenangan serta pertolongan Allah SWT.
OLEH : Nurul Haq Shahrir
SUMBER : http://www.bharian.com.my/node/21218
No comments:
Post a Comment