ISU:
Apakah pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan golongan Wahabi? Adakah golongan yang berzikir dan berdoa secara sendiri-sendiri selepas solat itu Wahabi?
PENJELASAN:
Aliran Wahabi bukanlah satu mazhab akan tetapi satu bentuk gerakan pemikiran agama yang banyak dipegang oleh ulama-ulama Haramayn (Mekah dan Madinah) kontemporari mengikuti pendekatan yang diambil oleh Muhammad bin Abd Wahhab (m.1792). Dari segi mazhab , mereka lebih hampir dengan mazhab Hanbali walaupun dari beberapa segi mereka lebih ketat dan keras.
Dalam sejarah tradisi ilmu Islam, aliran Wahhabi bukanlah mewakili
arus perdana mazhab Ahl Sunnah wa al-Jamaah kerana sejak seribu tahun
lebih, aliran yang menjadi peneraju kepada pentafsiran Ahl Sunnah wa
al-Jamaah dalam bidang akidah ialah Asha’irah dan Maturidiyah, manakala
dalam bidang fiqh ialah empat mazhab utama iaitu Shafi’i, Hanafi, Maliki
dan Hanbali.
Dari segi pendekatan ilmiah, aliran Wahabi membawa pendekatan yang
agak sempit dengan metodologi harfiah (literal) yang mereka ambil dalam
memahami sumber agama khususnya al-Qur’an. Justeru itu, sebahagian dari
pandangan mereka dalam agama bersifat agak keras terutama terhadap orang
yang tidak mengambil pendekatan mereka. Pendekatan sebegini akhirnya
telah membawa kepada kecenderungan untuk mudah mengeluarkan orang Islam
dari lingkungan agama yang tidak sealiran dengan aliran Wahabi.
Contoh perbezaan pandangan golongan Wahabi yang agak jelas ialah
pandangan mengenai sunnah dan bid’ah. Berdasarkan makna literal beberapa
hadis Nabi, mereka menganggap bahawa setiap amalan ibadat yang tidak
mengikuti secara langsung cara yang dibawa oleh Nabi saw, dianggap
bid’ah dan terkeluar dari Islam.
Justeru itu banyak amalan dan pegangan yang telah diamalkan oleh
masyarakat Islam telah dianggap terkeluar dari agama Islam oleh golongan
Wahabi. Pendekatan ini telah menyebabkan perpecahan di kalangan
sebahagian masyarakat yang telah lama mempunyai kesatuan dalam ibadat
menurut pentafsiran imam-imam muktabar dalam mazhab Shafi’i dan dalam
akidah menuruti aliran al-Ash’ari dan al-Maturidi.
Banyak persoalan yang bersifat khilafiah telah diangkat dan dianggap
sebagai perkara usul sehingga menjadi permasalahan dalam masyarakat,
seperti larangan doa qunut, wirid dan berdoa secara berjamaah selepas
solat, tahlil, berzanji, qasidah, burdah, membaca yasin pada malam
jumaat, perayaan maulid, kesemuanya ditolak atas nama bid’ah yang sesat.
Ini sama sekali tidak selari dengan pemahaman sunnah dan bid’ah yang
sebenar dalam Islam dan juga tidak bertepatan dengan semangat ilmiah
dalam tradisi Islam yang membenarkan perbezaan pandangan dalam persoalan
khilafiah.
Dalam konteks tasawuf, mereka amat keras membid’ah amalan-amalan
tariqat, amalan wirid dan selawat yang dilakukan oleh golongan sufi.
Dalam akidah, mereka membid’ahkan ajaran tauhid berdasarkan sifat yang
kesemuanya dipelopori oleh ulama-ulama berwibawa dalam aliran Ahl Sunnah
wa al-Jama’ah.
Contoh lain perbezaan pemahaman aliran Wahabi ialah pendekatan mereka
dalam memahami ayat-ayat mutasyabihat dalam al-Qur’an seperti ayat
berkaitan ‘tangan dan wajah Allah’, istiwa’ dan lain-lain. Dengan
mengisbatkan secara literal ayat-ayat ini dan menolak sama sekali
pendekatan ta’wil yang juga salah satu pendekatan yang diambil oleh
ulama salaf dan khalaf, ia membawa kepada kecenderungan tajsim
(kefahaman Allah berjism) dan tashbih (kefahaman Allah menyamai makhluk)
terutama kepada mereka yang berfahaman simplistik berkaitan isu
tersebut.
Ramai ulama-ulama yang telah mengkritik dan menghujah aliran Wahabi
termasuk saudara kandung Sheikh Muhammad Abdul Wahhab sendiri iaitu
Sheikh Sulayman Abd Wahhab dalam kitabnya bertajuk al-Sawa’iq
al-Ilahiyyah fi al-Radd ‘ala al-Wahhabiyyah. Antara ulama-ulama lain
ialah Sayyid Ahmad Ibn Zaini Dahlan (m.1886) Mufti Mekkah dan Shaykh
al-Islam dalam kitabnya al-Durar al-Saniyyah fi al-Radd ‘ala
al-Wahhabiyyah dan Dr. Sa’id Ramadhan al-Buti dalam karyanya
al-Salafiyyatun Marhalatun Zamaniyyatun Mubarakatun la Mazhabun
Islamiyyun.
Memandangkan Malaysia jelas mengambil pendirian sejak beratus tahun
lalu bahawa aliran yang harus diikuti ialah mazhab Shafi’i dan dalam
akidah aliran Ash’ari dan Maturidi dan ianya telah menghasilkan
perpaduan yang utuh di kalangan umat Islam, baik dalam ibadah, muamalah
dan lain-lain sehingga memberi ketenangan dan keharmonian dalam
masyarakat dan negara, maka aliran Wahabi adalah tidak sesuai dalam
konteks kefahaman dan amalan agama di Malaysia.
Manakala mereka yang berzikir secara sendiri-sendiri selepas solat
tidak semestinya dari aliran Wahabi. Namun sekiranya mereka membid’ahkan
orang yang berzikir secara berjamaah selepas solat berkemungkinan besar
ia dari golongan tersebut.
sumber :http://www.e-fatwa.gov.my/blog/pandangan-mengenai-golongan-wahabi
No comments:
Post a Comment