Saturday, March 2, 2013

KISAH KHALIFAH ADIL UMAR ALKHATTAB MEMBUKA KOTA AL QUDS

      

 Peperangan Yarmouk adalah pertempuran yang berlaku antara tentera Islam dan tentera Rom Byzantine di Jordan. Ketika itu, 41’000 tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid al Walid, berjaya menewaskan 70’000 battalion Rom yang terkenal dengan kelengkapan artileri. Kekalahan tentera Rom di Yarmouk menjadikan peluang penguasaan umat Islam terhadap Baitul Maqdis terbuka luas. Rom ingin menamatkan penguasaan mereka di Timur Tengah dengan menyerahkan Kota al Quds. Bagaimanapun, Patriarch Sophronius seorang protagonis uskup yang mempertahan Jerusalem, enggan menyerahkan Baitul Maqdis kepada umat Islam dengan pertumpahan darah. 

        Sophronius memberikan syarat supaya Khalifah Islam iaitu Umar ibn al Khattab sendiri yang hadir menemui penduduk Iliya’ (Iliya’, nama Jerusalem ketika itu) dengan jaminan keselamatan. Pada sangkaan Sophronius, umat Islam akan menolak syarat tersebut dan melakukan penjarahan terhadap Kota al Quds sebagaimana empayar-empayar yang pernah wujud sebelum Islam seperti Parsi dan Rom. Ternyata jangkaan mereka silap. Abu Ubaidah bin Jarrah yang ketika itu sudah mengepung Jerusalem, dengan sikap toleransi memenuhi permintaan Sophronius dan rakyat Iliya’. Beliau menerima syarat tersebut dan menjemput Khalifah Umar al Khattab menuju ke Kota Jerusalem.

     Sebelum Khalifah Umar berangkat menuju ke Jerusalem, Umar telah bermusyawarah bersama Para Sahabatnya tentang permintaan Sophronius. Uthman ibn Affan radhiAllahu anhu mencegah Khalifah Umar dari menuruti kehendak uskup tersebut, tetapi Saidina Ali memberikan cadangan lain yang kemudiannya diterima oleh Umar; Iaitu melakukan rapat umum bersama rakyat Iliya’ kerana Jerusalem juga merupakan salah satu bandar suci bagi kepercayaan umat Islam selain Yahudi dan Nasrani. 

      Di sinilah hikayat kisah agung pembukaan Kota al Quds yang dilakukan Khalifah Umar al Khattab. Khalifah Islam ke-2 yang pernah mendapat gelaran al Faruq ini, dipuji Baginda salallahualaihi wasalam sebagaimana sabdanya yang bermaksud,"Sesungguhnya Allah Taala menempatkan kebenaran pada ucapan Umar dan hatinya".