Tuesday, December 2, 2014

HUKUM MENGENAI JIHAD DI TIMUR TENGAH

Seruan jihad di Syria menyalahi Maqasid Syariah


        Ibadah jihad seperti ibadah lain, mempunyai syarat serta peraturan yang mesti dipenuhi dan dipatuhi ketika melaksanakannya. Ia bukan suatu ibadah yang tertegak dengan sentimen dan luapan emosi yang melulu tanpa batasan. Ia juga bukan seruan kosong yang dilaungkan tanpa makna dan erti.
        Sejauh mana benarnya puak yang meniupkan semboyan jihad pada hari ini, itu suatu persoalan yang perlu dinilai menurut dalil syarak dan ketetapan hukum. Sesuatu perkataan Arab mungkin membawa pelbagai makna, tetapi dengan ketibaan Islam, banyak perkataan Arab sudah dihadkan maknanya kepada satu istilah sahaja iaitu istilah syarak.
       Dalam Bahasa Arab, 'jihad' berasal daripada perkataan 'juhdu' atau 'jahdu' yang bermaksud 'kerahan tenaga dengan bersungguh-sungguh' (Mukhtar Al-Sihah 1/119). Tetapi, 'jihad' menurut syarak hanya membawa suatu makna iaitu 'menentang orang kafir (harbi) di medan pertempuran dan menghapuskan segala rintangan terhadap dakwah bagi menjadikan kalimah Allah (Islam) itu tinggi setinggi-tingginya'.
       Definisi ini memberi petunjuk sebab utama jihad disyariatkan bukan kerana kekufuran orang kafir semata-mata, tetapi kerana 'Al-Hirabah' mereka iaitu menzahirkan permusuhan terhadap nyawa dan harta umat Islam.