Sunday, June 18, 2017

HUKUM PEMBEDAHAN PLASTIK UNTUK SUAMI DALAM ISLAM

ISU-ISU PERUBATAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

1. TUJUAN
Kertas kerja ini dikemukakan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (Fatwa) Negeri Selangor bagi mendapat pandangan serta maklumbalas mengenai “Isu-isu Perubatan Menurut Perspektif Islam”.


2. LATAR BELAKANG


Sejak kebelakangan ini sering timbul pelbagai persoalan yang berkaitan dengan isu perubatan yang dibangkitkan oleh masyarakat dan memerlukan penjelasan yang lengkap. Oleh itu, Mesyuarat fatwa
diadakan dengan mengundang pakar dalam bidang perubatan dan agama bagi membincangkan seterusnya mencari penyelesaian terhadap segala persoalan berhubung isu ini.


a. Euthanasia (mercy killing) - pembunuhan belas kasihan. Contoh : pesakit yang tiada harapan untuk hidup lagi (koma). Sebab dilakukan:
i. Permintaan pesakit
ii. Permintaan oleh keluarga
iii. Permintaan oleh penguasa hospital / kerajaan.


b. Sejarah permulaannya pembedahan plastik dan adakah pembedahan plastik ini pernah berlaku di zaman terdahulu?


c. Konsep pembedahan plastik menurut perspektif Islam dan apakah pula dalil-dalil al-Quran atau al-Hadith yang menyokong?


d. Jika Islam membenarkan proses pembedahan plastik, bagaimanakah pula kedudukan atau situasi yang dibenarkan oleh syara’ bagi mangsa itu melakukan pembedahan plastik?        


e. Jika Islam tidak mengharuskan pembedahan plastik ini, adakah kaedah kaedah dalam “Qawaid al-Fiqhiah” dijadikan panduan untuk menetapkan hukum pembedahan plastik tersebut?


f. Apakah pula pandangan Islam tentang isu ini serta bagaimana pula fatwa fatwa ulama’ atau mufti mengenai isu ini?


g. Apakah pula pandangan Islam terhadap pembedahan plastik untuk tujuan kosmetik dengan memperolehi kepuasan dalam aspek kecantikan?

h. Adakah proses pembedahan plastik ini telah mengubah ciptaan Allah? Apakah pula dalil-dalil yang menyokong?


i. Implikasi yang akan timbul selepas pembedahan plastik dijalankan dari sudut fizikal dan psikologi pesakit?


j. Apakah kesan atau implikasi yang akan timbul jika perkara ini berterusan dari sudut etika dan sosial masyarakat?


k. Apakah pemindahan organ yang dilakukan terhadap seseorang yang telah meninggal dunia itu menyeksa mayat si mati?


l. Bukankah anggota badan manusia itu adalah hak Allah yang tidak boleh dipindah-pindahkan?


m. Adakah masalah pemindahan organ telah mencapai tahap darurat khususnya di Malaysia?


n. Bolehkah organ orang Islam boleh diberikan kepada orang bukan Islam?


o. Contoh : ginjal / buah pinggang - Apakah seseorang itu boleh hidup dengan satu buah pinggang?


p. Adakah seseorang penderma organ perlu mendapatkan persetujuan waris terlebih dahulu?


q. Sejauh mana pemindahan organ itu dianggap berjaya dan apakah terdapat kesan sampingan jangka pendek / panjang hasil pemindahan organ?


3. PENUTUP
Adalah diharapkan Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor memutuskan mengenai “Isu-isu Perubatan Menurut Perspektif Islam”.


KEPUTUSAN

ISU-ISU PERUBATAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor telah membuat keputusan bahawa:


1. Adalah Haram melakukan pembunuhan belas kasihan (mercy killing).
Walaupun dilakukan terhadap pesakit yang tiada harapan untuk hidup lagi (koma) dengan:
(i) Permintaan pesakit
(ii) Permintaan oleh keluarga
(iii) Permintaan oleh Penguasa hospital / kerajaan.


2. Adalah Haram melakukan pembedahan plastik sekiranya bertujuan untuk mengubah keadaan diri yang normal tanpa ada apa-apa sebab-musabab yang baik. Namun adalah Harus melakukan pembedahan plastik ini sekiranya terdapat sesuatu hajat yang penting seperti memperelokkan
sesuatu anggota yang sumbing, cacat dan sebagainya.


3. Adalah Haram melakukan pembedahan plastik sekiranya bukan bertujuan untuk suami atau menjaga keharmonian rumahtangga. 

Namun adalah Harus melakukan pembedahan plastik untuk bertujuan kosmetik dengan memperolehi kepuasan dalam aspek kecantikan sekiranya dilakukan untuk suami atau menjaga keharmonian rumahtangga.

4. Adalah Harus melakukan pemindahan organ dari seseorang yang telah meninggal dunia kerana ia dapat memberi manfaat.


5. Adalah Harus mendermakan organ orang Islam kepada orang yang bukan Islam dan sebaliknya. Sebagai contoh derma darah atau buah pinggang/ginjal daripada orang Islam kepada orang yang bukan Islam dan sebaliknya.


Semoga dengan penjelasan ini nanti akan dapat meyelesaikan beberapa
persoalan berhubung perkara tersebut.

No comments:

Post a Comment